Monday, May 25, 2009

Tarbiyyah di Madrasah Hassan Al Banna

Madrasah Hassan al Banna
By Prof Madya Dr Ahmad Farouk Musa

"Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul diantara mereka, yang membacakanayat-ayatNya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan kepada mereka Kitab dan Hikmah (as-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnyabenar-benar dalam kesesatan yang nyata" [62:2]

Demikianlah sifat pentarbiyahan yang diasaskan ar-Rasul yang telah mendidik lantas melahirkan suatu angkatan manusia yang mempunyai ciri-ciri Rabbani. Kelompok manusia yang disifatkan oleh asy-Syahid Sayyid Qutb di dalam 'Ma'aalim fi-at-Thariq' sebagai generasi al-Qur'an yang unik.

Apabila berlalu masa yang panjang, dan runtuhnya kekhalifahan yang menjadi mercu tertinggi di bawah naungan panji aqidah Islamiyah, bersamanya runtuh segala tamadun dan peradaban yang menjadi warisan umat. Di atas keruntuhan itulah lahir para mujaddid yang membangunkan semula generasi baru yang membawa panji-panji Islam untuk dikibarkan di atas mukabumi ini.

Gerakan Tajdid yang diasaskan oleh Imam Muhammad Abduh dan Allamah Sayyid Rasyid Redha telah diteruskan oleh seorang pemuda yang telah menyusun gerakan tersebut menjadi suatu organisasi yang rapi dan telah meninggalkan kesan dan pengaruh diserata tempat dibumi ini. Pemuda tersebut ialah Hassan al-Banna yang telah menubuhkan gerakan al-Ikhwan al-Muslimun, suatu gerakan yang membentuk generasi Muslim yang baru, yang memahami Islam dengan tepat dan bekerja untuk dirinya dan keluarganya serta berjuang menegakkan agama Allah, merealisasikan ajaranNya dan mempersatukan umatNya.    Seperti kata beliau: "Itulah suatu Risalah yang jangkauan waktunya sampai ke akhir zaman, jangkauan ruangnya meliputi seluruh umat manusia, dan jangkauan kedalamannya mencakup segala urusan dunia dan akhirat."

A. Ketuhanan (Rabbani)

Segi ketuhanan dan keimanan dalam pendidikan Islam seperti yang difahami oleh al-Ikwan adalah segi yang paling penting dan paling mendalam pengaruhnya. Yang demikian itu kerana tujuan pertama daripada pendidikan Islam adalah membentuk manusia yang beriman kepada Allah. Iman di dalam Islam bukan semata-mata pengetahuan para teologi dan falsafah, bukan pula perasaan jiwa yang menerawang seperti perasaan orang sufi dan bukan pula semata-mata ketekunan beribadat seperti ketekunan orang-orang zahid. Iman adalah kesatuan daripada semua ini, tidak menyimpang dari kebenaran, tidak lalai dan tidak pula berlebih-lebihan, disertai tindakan menyebarkan kebenaran dan membimbing manusia ke jalan yang benar.

Madrasah Hasan al-Banna di dalam tarbiyahnya berusaha menyatukan apa yang dipisah-pisahkan oleh para ahli teologi dan kaum sufi, memperbaiki apa yang telah dirosakkan oleh kaum muslimin pada masa-masa terakhir, kembali kepada sumber Iman yang berasaskan al-Qur'an dan as-Sunnah. Itulah iman para sahabat dan tabi'in, yang meliputi keyakinan hati, pengakuan lisan dan amal perbuatan. Iman yang mewarnai kehidupan mereka di masjid, di rumah dan di dalam masyarakat, dalam keadaaan bersendirian ataupun di depan umum, di waktu malam dan siang, di dalam pekerjaan dunia dan amal akhirat. Iman yang mempunyai ciri-ciri khas dengan daya geraknya, dan daya dorongnya bagaikan obor yang menyala, arus yang bergelora, sinar yang menerangi dan api yang membakar. Tiang pendidikan berdasarkan Ketuhanan adalah hati yang hidup yang berhubungan dengan Allah, meyakini pertemuan denganNya dan hisabNya, mengharapkan rahmatNya serta takut akan siksaNya. Kerana itu pendidikan al-Ikhwan bertujuan menghidupkan hati supaya ia tidak mati, memperbaikinya supaya ia tidak rosak dan memperhalusnya sehingga ia tidak menjadi kasar dan keras. Dengan demikian hati seorang mukmin menganggap mudah segala kesulitan, memandang manis apa yang pahit, menganggap enteng segala penderitaan, kesukaran dan kesulitan, bahkan ia tetap berjuang kerana Allah ibarat seorang yang mabuk cinta, yang merasa indah segala kesulitan perjalanan, lupa akan lapar dan dahaga, kerana tujuannya adalah bertemu dengan kekasihnya.

Hassan al-Banna di dalam segala kesempatan senantiasa mengetuk pintu hati manusia sehingga terbuka untuk mengenal Allah, mengharapkan kurniaNya, dan takut kepadaNya, bertaubat dan bertawakkal kepadaNya serta yakin akan rahmat yang tersedia di sisiNya dan redha terhadapNya, merasa tenteram dengan mendekatkan dirikepadaNya dan dengan mengingatiNya. "Di hari harta dan anak-anak lelaki tidak berguna, kecuali mereka yang menghadap Allah dengan hati yang aman sejahtera"
[26:88-89]

Segi keimanan dan ketuhanan ini mendapat tempat yang luas dan perhatian yang besar dalam madrasah Hasan al-Banna. Dakwah ketuhanan hanya mengarahkan pandangan
kepada Allah sahaja dan menjadikan redhaNya sebagai matlamat akhir. Tidak hairanlah sekiranya tarbiyyah al-Ikhwan menjadikan slogan pertama yang diajarkan kepada para pengikutnya dan ditanamkan di dalam akal dan perasaan mereka pengertian dan matlamat utamanya iaitu; "Allahu ghoyatuna": Allah adalah matlamat kami!

Di antara nilai-nilai pokok yang dilaksanakan oleh tarbiyyah ketuhanan al-Ikhwan adalah ibadah kepada Allah. Adapun unsur-unsur asas yang ditekankan oleh al-Ikhwan di dalam ibadah adalah:

1. Tetap mengikuti sunnah dan menjauhi bid'ah kerana setiap bid'ah adalah sesat. Di dalam hal ini Syeikh Sayyid Sabiq telah menyusun kitabnya "Fiqhus Sunnah" dan Hassan al-Banna telah memberikan pengantar dan memujinya. Kitab ini bertumpu kepada dalil-dalil syari'at dan merupakan fiqh al-Ikhwan al-Muslimun.


 

2. Mengutamakan ibadat-ibadat fardhu, kerana Allah tidak menerima ibadat sunnat sebelum ditunaikan yang fardhu.


3. Menggemarkan solat berjamaah, walaupun imam-imam mazhab berbeza pendapat mengenai hukumnya.
4. Menggemarkan amalan sunat seperti qiyamul lail dan berpuasa Isnin dan Khamis. Pendidikan malam dengan adanya solat, do'a dan membaca al-Qur'an disertai keteguhan jiwa dan kekuatan hati, itulah yang menghasilkan seorang muslim yang mampu memikul beban risalah yang menyambut warisan kenabian dengan kekuatan dan amanah seperi yang dipikul oleh ar-Rasul.

5. Menggemarkan berzikir kepada Allah, dan kerana itu Hassan al-Banna telah menyusun suatu risalah yang berisi kumpulan zikir dan do'a yang ma'tsur, berasal dari sunnah Nabi yang dinamakan "al-Ma'tsurat". Hampir tidak ada anggota Ikhwan yang tidak memiliki risalah ini dan sedikit di antara mereka yang tidak menghafalnya dan mengulang-ulangi zikirnya pagi dan petang.

Di antara hasil pendidikan iman kepada Tuhan ini, al-Ikhwan telah memberi sumbangan kepada tanah airnya dan usaha dakwahnya tanpa menyebut-nyebut jasanya, bahkan Allah memberi kepada mereka kenikmatan iman sehingga meskipun mereka mendapat siksaan dan ujian yang terus menerus daripada regim pemerintah, namun tidaklah mereka menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah dan tidak lesu dan tidak pula menyerah kepada musuh.

B. Sempurna dan Lengkap

Di antara keistimewaan pendidikan Islam seperti yang difahami dan diterapkan oleh al-Ikhwan adalah kesempurnaan dan lengkapnya. Tarbiyyah Islam tidak mengkhususkan perhatiannya kepada aspek rohani atau akhlak sahaja seperti yang dipentingkan orang-orang sufi, tidak membatasi usahanya pada pembinaan akal dan
pemikiran seperti yang di pentingkan oleh ahli falsafah, tidak menjadikan cita-citanya yang utama kepada latihan ketenteraan dan tidak pula terbatas pada pendidikan kemasyarakatan . Pada hakikatnya tarbiyyah Islam mementingkan keseluruhan aspek-aspek ini dan ingin mewujudkan segala macam pendidikan itu
secara kukuh. Yang demikian itu kerana pendidikan Islam adalah pendidikan manusia dari segi akal dan hatinya, rohani dan jasmaninya, akhlak dan keterampilannya. Kerana pendidikan Islam menyiapkan manusia untuk hidup, baik dalam keadaan senang atau susah, dalam keadaan damai dan perang, dan menyiapkannya untuk menghadapi masyarakat dengan segala kebaikan dan kejahatannya, manis dan pahitnya.

1. Aspek Akal

Al-Ikhwan al-Muslimun memberikan perhatian yang besar kepada aspek ini, sesuai dengan perhatian Islam sendiri kepadanya. Ayat pertama yang diturunkan ialah
:"Iqra'", memberi maksud dan pengertian betapa tingginya nilai akal di dalam Islam. Islam menuntut daripada seorang muslim supaya mempunyai bukti-bukti tentang Tuhannya dan dakwahnya hendaklah berlandaskan akal. Kerana itu, Hassan al-Banna menjadikan "al-fahmu" yakni faham, sebagai rukun bai'ah yang pertama dan didahulukan atas ikhlas, amal, jihad, persaudaraan dan sebagainya yang merupakan
prinsip-prinsip dasar daripada dakwah.

Kefahaman Islam menurut al-Ikhwan ialah memandang Islam sebagai agama dan negara, ibadah dan qiyadah, rohani dan amali, solat dan jihad, al-Qur'an dan
pedang, sepertimana yang diumumkan oleh pengasas gerakan al-Ikhwan sendiri pada usul pertama daripada dua puluh usul yang dikenali sebagai Usul Isyrin.
Kerana itu al-Ikhwan mementingkan ilmu al-Qur'an dan ilmu Hadith, serta mengutamakan fiqh yang berdasarkan hadith dan sunnah daripada fiqh yang jumud yang berupa aliran-aliran mazhab. Demikian juga ia tidak mengabaikan aspek sirah dan sejarah Islam, serta tidak melupakan gerakan-gerakan yang bermusuhan baik berupa agama, pemikiran maupun politik.

2. Aspek Akhlak

Di antara aspek pendidikan yang terpenting menurut al-Ikhwan ialah aspek kejiwaan atau akhlak. Perkara ini amat diutamakan dan dianggap sebagai tonggak
pertama untuk perubahan masyarakat. Akhlak itu bukanlah terbatas pada memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang keji tetapi muncakupi hal-hal
yang lain. Akhlak mencakupi urusan pengendalian diri, benar dalam perkataan, baik dalam perbuatan, amanah dalam muamalah, berani dalam mengeluarkan pendapat,
adil dalam memutuskan, tegas dalam kebenaran, bulat tekad untuk kebaikan, menyuruh kepada yang ma'ruf, melarang daripada yang mungkar, bersungguh terhadap kebersihan, menghormati peraturan dan tolong-menolong atas kebaikan dan takwa.


Dalam kesedaran inilah maka Ustaz Hassan al-Hudaibi, penganjur kedua al-Ikhwan telah mengungkapkan ucapannya yang masyur: "Dirikanlah Negara Islam dalam
hatimu, nescaya ia akan berdiri di negerimu." Yang dimaksudkannya adalah bahawa rahsia setiap perjuangan yang berjaya terletak pada penyiapan jiwa, pembentukan
perasaan dan pendidikan akhlak yang merubah sikap dan peribadi sehingga berubahlah masyarakat daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain seperti yang di jelaskan oleh al-Qur'an: "Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri" [13:11]

Di antara hal yang paling dipentingkan oleh al-Ikhwan daripada akhlak utama untuk ditanamkan di dalam jiwa para pengikutnya adalah:


 

i. Sabar

Sabar yang dimaksudkan di sini ialah sabar atas panjangnya jalan perjuanagan, banyak onak dan durinya, banyak halangannya kerana ketakutan atau kerana
keuntungan peribadi. Semua ini haruslah dihadapi dengan sabar tanpa memperdulikan pemboikotan manusia, penghinaannya, maupun tekanan dan penganiayaannya. Lebih-lebih lagi sabar itu adalah bekal dalam perjuangan, harta simpanan dalam menghadapi dugaan, dan penolong dalam menegakkan kebenaran, sehingga Allah secara berturut menyebut saling berwasiat dengan kebenaran dan kesabaran dalam satu ayat.

ii. Tabah

Di antara sifat yang berhubungan dengan sabar dan menyempurnakannya adalah ketabahan. Hassan al-Banna menjadikannya salah satu rukun bai'ah yang sepuluh
dengan kata-katanya: "yang saya maksudkan dengan tabah ialah seorang anggota harus tetap bekerja keras untuk mencapai tujuannya betapapun panjang masa yang berlalu sehingga ia berjumpa dengan Allah dalam keadaan demikian. Dia pasti mencapai salah satu daripada dua kebaikan, mencapai tujuannya atau ia syahid pada akhirnya."

iii. Cita-cita

Cita-cita ertinya harapan akan kemenangan Islam, percaya bahawa masa depan di tangannya dan pertolongan Allah itu hampir datangnya, meskipun bahaya berubi-tubi dan bencana silih berganti. Dalam risalahnya yang ditujukan kepada para pemuda, beliau menyebutkan akan tujuan dan matlamat dakwah ini. Katanya: "Wahai para pemuda, tidaklah kamu lebih lemah daripada orang-orang sebelum kamu, yang berkat jasa-jasa mereka Allah telah mewujudkan sistem ini menjadi kenyataaan. Sebab itu janganlah kamu bersikap lemah. Perhatikanlah firman Allah: 'Orang-orang yang dikatakan kepada mereka: sesungguhnya manusia telah mengumpulkan pasukan untuk menyerang kamu, kerana itu takutlah kepada mereka; mereka tidak gentar, bahkan perkataan itu menambah keimanan mereka dan mereka menjawab: cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik penolong" [3:173]. Kita akan mendidik diri kita supaya menjadi muslim, keluarga kita supaya menjadi keluarga muslim, bangsa kita supaya menjadi bangsa muslim, dan untuk bangsa ini agar tertegaknya pemerintahan muslim. Kita akan
berjalan dengan langkah yang mantap sampai ke hujung jalan, sampai kepada tujuan yang telah kita tetapkan dan kita akan sampai dengan izin Allah dan
pertolonganNya. Allah berfirman: 'Allah sekali-kali tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun dibenci oleh orang-orang kafir' [9:32] Untuk itu kita telah menyiapkan iman yang tidak kenal goyah, kerja yang tidak kenal lelah, keyakinan terhadap Allah yang tidak pernah lemah, dan jiwa yang sangat merasa bahagia bila menemui Allah dalam keadaan syahid pada jalanNya."

Jiwa yang meluap-luap seperti inilah yang menanamkan keyakinan, membangkitkan harapan, dan menghidupkan cita-cita untuk kemenangan Islam dalam diri yang
selama ini telah dihancurkan oleh sifat putus asa.


iv. Pengorbanan

Kesediaan berkorban adalah akhlak yang paling dipentingkan dalam pendidikan al-Ikhwan. Yang dimaksudkan dengan kesediaan berkorban ialah seorang anggota tidak berkira tentang tenaga, harta dan waktu untuk dakwahnya. Dia tidak menangguhkan kesempatan untuk menyiarkannya, memperluas ruang geraknya serta membantu anggota-anggotanya dengan jiwa dan harta. Dalam penyediaan untuk berkorban ini, al-khwan menekankan beberapa aspek yang perlu dipertingkatkan.


 

3. Aspek Jasmani

Tujuan al-Ikhwan daripada pendidikan ini ialah agar setiap anggotanya mempunyai tubuh badan yang sihat yang akan mempunyai pengaruh terhadap jiwa dan akal. Kerana itu perhatian perlu diberikan tehadap aspek pemakanan, kebersihan dan gaya hidup yang dapat memelihara kesihatan tubuh badan. Dengan itu jugalah maka kewajipan setiap anggota agar dapat mengurangi minuman yang mengandungi kafein seperti kopi dan menghentikan merokok sama sekali. Setiap anggota al-Ikhwan harus menitik-beratkan aspek latihan jasmani seperti bersukan dan berenang, serta aktiviti riadah dan rehlah yang yang akan mempunyai pengaruh yang nyata dan hasil yang terlihat di medan perang ketika situasi memerlukannya.

4. Aspek Jihad

Di antara aspek tarbiyyah al-Ikhwan yang menonjol ialah pendidikan jihad dengan memperingati peristiwa-peristiwa Islam yang berhubungan dengannya. Sejarah Nabi adalah jihad yang terus menerus pada jalan Allah dan kerana itu sejarah Nabi dikenali sebagai al-Maghazi. Isi al-Qur'an yang pertama-tama diwajibkan kepada anggota menghafalnya dan mempelajarinya adalah surah al-Anfal, untuk mempertajam pengertian jihad yang selama ini diabaikan oleh kaum muslimin. Kerana itu jugalah Hassan al-Banna menganggap jihad sebagai salah satu rukun bai'ah yang sepuluh dan salah satu slogan al-Ikhwan ialah: "al jihaadu sabiiluna wal mautu fi sabiilillahi asma amaaniyyina"- jihad adalah jalan kami dan mati pada jalan Allah adalah cita-cita kami yang tertinggi.

Tarbiyyah al-Ikhwan telah menumbuhkan pada diri mereka jiwa yang sanggup berkorban, mencari syahid dan berani mati dalam pertempuran. Makna ini tampak jelas pada waktu pertempuran di bumi Palestin pada tahun 1948. Dikala itu maka berkumandanglah teriakan-teriakan:

    
"Wahai angin syurga, berhembuslah…Wahai perajurit Allah, berangkatlah…" Putera-putera dakwah daripada berbagai pelosok berlumba-lumba ingin memperoleh kemuliaan turut serta berjihad di tanah suci itu, sehingga mereka menemukan salah satu daripada dua kebaikan; menang dalam pertempuran atan syahid di jalan Allah.

5. Aspek Kemasyarakatan

Pendidikan al-Ikhwan menekankan bahawa amal untuk kebaikan masyarakat merupakan sebahagian daripada misi seorang muslim dalam kehidupan. Dari segi ini jelaslah bahawa setiap anggota al-Ikhwan adalah anggota yang berguna kepada masyarakatnya, selalu mengerjakan kebaikan dan mengajak kepadanya, membenci kejahatan dan melarang daripadanya, menolong orang yang fakir, menuntun orang yang lemah, mengajar orang yang jahil, meningatkan orang yang lalai, memberi pengajaran kepada orang yang berbuat maksiat, mengingatkan orang yang lupa, mengunjungi orang yang sakit, melawati orang yang mati, memperhatikan nasib anak yang yatim, memberi makan kepada orang yang miskin, dan ikut serta
dalam setiap usaha untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat, jika ia bukan pelopor atau penganjurnya.

6. Aspek Politik

Yang dimaksudkan dengan aspek ini adalah apa yang berhubungan dengan pemerintahan serta hubungan antara pemerintah dan rakyat. Dalam hal ini Hassan al-Banna telah melontarkan ucapan yang hampir menjadi hafalan kebanyakan anggota al-Ikhwan, seperti di dalam salah satu risalahnya iaitu: " Bila ditanyakan kepada kamu, ke arah mana kamu menyeru umat ini? Maka katakanlah, kami menyeru mereka kepada Islam yang dibawa oleh Muhammad, yang pemerintahan merupakan sebahagian daripadanya dan kemerdekaan merupakan salah satu di antara kewajipan-kewajipannya. Jika dikatakan kepadamu, ini adalah politik! Maka katakanlah, inilah Islam dan kami tidak mengenal pemisahan seperti itu."

Pendidikan politik di dalam madrasah Hassan al-Banna didasarkan atas sejumlah prinsip yang terpenting. Yang pertamanya ialah memperkuatkan kesedaran tentang wajibnya membebaskan setiap Negara Islam daripada kekuasaan asing dan mengusir penjajah dengan segala cara yang sah. Kemudian ia harus membangkitkan
kesedaran tentang wajibnya menegakkan pemerintahan Islam. Di dalam 'Risalah Muktamar Kelima' Hassan al-Banna telah mengungkapkan ucapan Khalifah yangketiga: "'Sesungguhnya Allah akan mengatur dengan as-Sultan, yakni kekuasaan, apa-apa yang tidak di aturNya dengan al-Qur'an'. Nabi telah menjadikan pemerintahan sebagai satu tiang daripada tiang-tiang Islam, dan pemerintahan dianggap di dalam kitab-kitab fiqh termasuk dalam kategori aqidah dan bukan furu'.


Islam adalah pemerintahan dan pelaksanaan, sebagaimana ia adalah undang-undang, ajaran, peraturan dan peradilan, satu daripadanya tidak terpisah daripada yang lain." Seterusnya pendidikan politik madrasah Hassan al-Banna menekankan akan perlunya membangkitkan kesedaran tentang kewajipan mewujudkan persaudaraan Islam. Persaudaraan seorang muslim adalah persaudaraan yang luas, meliputi timur dan barat. Adapun wajibnya persatuan itu, kerana Allah telah menjadikan kaum muslimin sebagai umat yang satu. Kerana itu kita melihat Hassan al-Banna menyeru kepada persatuan Islam dan sangat menganjurkan supaya berfikir untuk mengembalikan pemerintahan Khilafah. Beliau melihat tidak ada pertentangan antara seruan persatuan Islam dengan persatuan yang berasaskan kebangsaan, apabila semuanya difahami dengan tepat dan ditempatkan pada tempatnya yang benar. Seperti yang beliau jelaskan di dalam 'Risalah Muktamar Kelima', al-Ikhwan al-Muslimun menghormati bangsanya sendiri sebagai dasar pertama untuk kebangkitan yang dimaksudkan dan berpendapat tidak ada salahnya setiap manusia bekerja untuk tanah airnya dan mendahulukannya daripada negeri-negeri lain. Kemudian setelah itu ia bekerja untuk memperkuatkan persatuan nasional dan kebangsaan sebagai kebangkitan tahap kedua. Lalu akhirnya ia berusaha untuk persatuan Islam sejagat berdasarkan ikatan Islam yang sempurna yang tidak mengenal batasan geografi dan warna kulit, kerana inilah tujuan Islam dan makna firman Allah: "Dan tidaklah kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam" [21:107]


 

C. Positif dan Membangun

Tarbiyyah Islam menurut al-Ikhwan selain menonjol dengan penekanan pada segi keimanan dan saling melengkapi dan menyeluruh, juga mempunyai ciri penting
yang bersifat positif dan membangun. Sesungguhnya Islam mengharapkan daripada seorang Muslim untuk bekerja sebelum berbicara, tidak mengatakan sesuatu
melainkan untuk dikerjakan dan tidak bekerja melainkan untuk diselesaikan dengan sebaik-baiknya. Di bawah sinar kefahaman Islam yang murni dan dengan jiwa yang
positif lagi membangun inilah berjalannya tarbiyyah Hassan al-Banna terhadap al-Ikhwan al-Muslimun.


 

Sesungguhnya beliau ingin sekali menjauhkan mereka daripada segala sifat negatif, menyerah kepada nasib, berburuk sangka, sikap riya', dan perdebatan yang tiada hasilnya. Sebaliknya membuka bagi mereka lapangan kerja, supaya mereka dapat menyalurkan kemampuan dan kesungguhannya, serta dapat menjadi tumpuan cita-cita semua orang yang beriman dan idaman semua pejuang pada jalan Allah.

Hassan al-Banna mempunyai sepuluh wasiat yang ketat yang hampir menjadi hafalan bagi penggerak al-Ikhwan. Dalam wasiat itu beliau berkata:

  1. Dirikanlah solat tatkala engkau mendengar azan, betapapun keadaan di waktu itu.
  2. Bacalah al-Qur'an atau pelajarilah tafsirannya atau dengarkanlah orang lain membacanya, atau zikirlah kepada Allah dan janganlah engkau gunakan sebahagian waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah.
  3. Berbicaralah dalam bahasa Arab yang fasih, kerana yang demikian itu termasuk syi'ar Islam.
  4. Jangan banyak berdebat dalam hal apapun, kerana pertengkaran itu tidak akan mendatangkan kebaikan.
  5. Jangan banyak tertawa, sebab hati yang berhubungan dengan Allah itu adalah tenang dan mantap.
  6. Jangan suka berjenaka kerana umat yang berjuang tidak mengenal selain kesungguhan.
  7. Janganlah engkau mengeraskan suaramu melebihi daripada yang diperlukan oleh pendengar, kerana hal itu menunjukkan kejahilan dan menyakitkan.
  8. Jauhilah mengumpat orang, mencela organisasi dan janganlah berbicara kecuali perbicaraan yang baik.
  9. Perkenalkanlah dirimu kepada orang yang engkau jumpai, walaupun ia tidak meminta hal itu daripadamu, sebab dasar dakwah kita adalah cinta dan saling kenal mengenal.
  10. Kewajipan kita lebih banyak daripada waktu yang ada, kerana itu bantulah orang lain untuk memenafa'atkan waktunya. Jika engkau mempunyai sesuatu urusan, maka selesaikanlah dalam waktu yang sesingkat-singkatnya.


     

Salah satu kewajipan anggota al-Ikhwan ialah menjadikan dakwah sebagai pemangkin utama yang menjanakan setiap gerakan hidupnya. Kerana itulah moto
laungan al-Ikhwan berbunyi: "Perbaikilah dirimu dan serulah orang lain". Kedua tugas ini tidak dapat dipisah-pisahkan. Allah berfirman: "Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amalan yang solih dan berkata: sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri" [41:33]

D. Keserasian dan Keseimbangan

Di antara ciri khas tarbiyyah Islam seperti yang di katakan oleh Hassan al-Banna adalah serasi, atau katakanlah seimbang atau pertengahan. Mereka menjaga keseimbangan antara akal dan perasaan, antara benda dan ruh, antara teori dan praktik, antara individu dan masyarakat, antara musyawarat dan ta'at, antara hak
dan kewajipan, dan antara yang lama dan yang baru.


 

Gerakan ini memanfaatkan seluruh warisan peninggalan Islam. Terhadap warisan di bidang fiqh, Hassan al-Banna tidak bersikap menolak segala mazhab secara mutlak dan tidak pula menerima secara mutlak. Dalam usul keenam daripada Usul Isyrin beliau tegaskan: "Setiap orang dapat dipegang dan dapat ditinggalkan pendapatnya kecuali Nabi yang maksum. Setiap yang datang daripada ulama' salaf yang sesuai dengan al-Qur'an dan as-Sunnah kita terima, jika tidak maka Kitabullah dan Sunnah RasulNya lebih utama untuk diikuti. Tetapi di dalam masalah khilafiyah, kita tidak mencela dan mengecam peribadi seseorang, tetapi kita serahkan kepada niat mereka kerana mereka telah mengemukakan apa yang dapat mereka persembahkan."

Inilah sikap pertengahan, sebagaimana ia adalah sikap adil yang tidak dapat dimungkiri oleh seorangpun. Pemimpin gerakan Islam itu tidaklah berhenti sampai di situ sahaja, bahkan beliau mengumumkan bahawa semua pendapat dan ilmu yang diwarnai oleh masa dan lingkungannya, tidaklah mesti bagi kita yang hidup diabad kedua-puluh ini untuk menerimanya. Kita merdeka berijtihad untuk diri kita sendiri sebagaimana mereka telah berijtihad, meskipun kita tidak mengabaikan untuk mempelajari dan mengambil manfaat daripada kekayaan yang besar itu. Di dalam 'Risalah Muktamar Kelima' beliau berkata: "Hendaklah kita memahami Islam
seperti yang difahami oleh para sahabat dan tabi'in serta as-salafus-soleh, dan hendaklah kita berdiri teguh pada batas-batas yang ditetapkan Tuhan. Dengan
demikian kita tidak mengikat diri kita selain dengan ikatan Allah dan tidaklah mesti kita mewarnai masa kita dengan warna yang tidak sesuai dengannya, padahal
Islam itu adalah agama untuk umat manusia seluruhnya."


Inilah jiwa pembaharuan yang benar, pembaharuan yang seimbang lagi serasi. Dengan faham yang seimbang dan adil inilah pula beliau menghadapi kesyirikan dan
bid'ah di dalam agama. Penolakannya disusun dalam kalimat-kalimat yang lemah lembut lagi penuh hikmah, yang mengumpulkan antara menyatakan yang benar dan
manisnya berdakwah dengan hikmah dan pelajaran yang baik. Di dalam Usul Isyrin beliau menyebutkan: "Setiap bid'ah di dalam agama Allah yang tidak ada dasarnya
dan di anggap baik oleh manusia, baik dengan menambah-nambah atau mengurangi apa yang telah ditetapkan Allah, adalah kesesatan yang wajib diperangi dan dihilangkan dengan cara yang baik sehingga tidak membawa kepada hal-hal yang lebih buruk."

E. Persaudaraan dan Jama'ah

Di antara pengertian asas yang ditanamkam oleh al-Ikhwan adalah persaudaraan dan rasa kasih saying kerana Allah. Tidak diragukan bahawa nikmat persaudaraan dalam agama Allah, mencintai zatNya dan bersatu dalam agamaNya, termasuk kurniaan Allah yang paling besar kepada hambaNya yang berupa iman dan semua itu adalah sebahagian daripada buahnya. Firman Allah: "Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan
antara hati-hati kamu lalu menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang yang bersaudara." [3:103]


Hassan al-Banna telah menjadikan persaudaraan sebagai salah satu rukun bai'ah yang sepuluh dan ditafsirkannya dengan kata-katanya: "Bahawa hati dan jiwa terjalin dengan jalinan aqidah, dan aqidah adalah penjalin yang lebih kuat dan lebih tinggi nilainya.


Persaudaraan adalah sama dengan iman, sedang perpecahan adalah sama dengan kufur." Anggota al-Ikhwan diikat dengan jalinan cinta dan kasih sayang seakan-akan mereka adalah anggota daripada satu keluarga bahkan bagai anggota daripada jasad yang satu. Memerhatikan hubungan jiwa dan hati di antara anggota al-Ikhwan ini, dapat disimpulkan dengan kata-kata yang mengumpamakan apabila seseorang di
antara mereka bersin di Iskandariah, maka berkatalah saudaranya di Aswan, Yarhamukallah.

Demikianlah sifat para pendokong al-Ikhwan al-Muslimun, yang telah dididik di Madrasah Hassan al-Banna. Kita tidak mengatakan mereka umpama malaikat
yang berjalan di atas muka bumi ini akan tetapi dapat dikatakan bahawa mereka adalah putera-putera pilihan daripada umat ini, memiliki kebebasan akal, kesucian
hati, kebersihan jiwa, kemantapan akhlak, kebersihan hidup, ghairah kepada agama Allah, suka berbuat baik sesama manusia, bersemangat terhadap Islam, dan bekerja keras untuk mengembalikan kejayaannya, kewibawaan syari'atnya dan kepimpinan umatnya. Semoga kita dapat mengambil manfaat daripada madrasah yang unggul ini dalam mempertingkatkan amal Islami, di zaman yang serba mencabar ini.

"Aku tidak bermaksud melainkan (mendatangkan) islah selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufiq bagi diriku melainkan dengan pertolongan Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepadaNyalah aku kembali." [11:88]

No comments:

Post a Comment